12 Kafe di Petaling Street Mesra Muslim Paling Insta-worthy
Rehat dan relaks di 12 kafe di Petaling Street mesra muslim paling insta-worthy!
2025-07-02
By Siti
Rehat dan relaks di 12 Kafe di Petaling Street mesra muslim paling insta-worthy!
Kita ada banyak kafe di Malaysia yang menggabungkan ciri tradisi dan moden yang relaks dan selesa. Kami senaraikan di sini 12 kafe mesra muslim di Petaling Street atau mempunyai sijil halal yang anda mesti cuba. Siap sedia sebab ada yang sangat sesuai untuk gambar OOTD anda juga!
Kandungan
1. Merchant’s Lane
Ada sebab kenapa kafe di Petaling Street ini selalu ada ramai pelanggan. Selain layanan mesra, hiasan dalaman gaya desanya yang menarik dan menu yang pelbagai, bukan sahaja sesuai untuk makan dan minum tapi untuk ambil gambar juga. Pokok-pokok hiasan gantung dan semulajadi yang tumbuh pada dinding berwarna pastel, kerusi-kerusi dan buaian rotan dan tingkap vintaj adalah antara yang menjadikan Merchant’s Lane lokasi popular bagi mereka yang nak lepak dengan kawan-kawan dan kaki media sosial yang suka tempat-tempat insta-worthy begini.
Kafe mesra muslim ini menyediakan menu gabungan Malaysia dan Barat yang sangat unik. Contohnya, Kai Fan 5.0 adalah gabungan chicken chop, nasi, salad dan sos tiga rasa dan Italian Chow Mien ialah rendang ayam dengan spageti.

Kafe ini juga mesra haiwan tapi terhad di ruang luar kafe sahaja.
Merchant’s Lane terletak di atas deretan rumah kedai. Jalan perlahan sikit supaya tak terlepas pintu berwarna firus (turquoise). Jarak dari LRT dan MRT Pasar Seni cuma lebih kurang 5 minit berjalan. Lebih mudah berjalan kaki atau naik kenderaan awam bila ke sini sebab tempat letak kenderaan agak terhad.
Alamat: No.150 Jalan Petaling, 50000 Kuala Lumpur (Google Map)
Harga Sarapan: RM20 – RM40
Waktu Operasi: Selasa – Ahad, 1130am – 8pm
2. Vintage 1988
Cari lokasi OOTD berinspirasikan retro? Ini satu lagi lokasi insta-worthy yang kerap muncul dalam blog dan media sosial. Vintage 1988 berikan anda vibe yang memang sesuai dengan namanya. Mereka yang membesar pada tahun 90an pasti terimbas kenangan zaman itu bila masuk di kafe ini. TV lama, konsol video game, kerusi berwarna army green, papan tanda neon, mesin taip dan komputer lama antaranya, memberikan nilai estetika kepada kafe ini. Bagi sebahagian pelanggan, Vintage 1988 dianggap bergaya retro-futuristic sesuai untuk Gen Z yang suka gaya urban begini.
Menu di sini adalah gabungan masakan Malaysia tradisional dengan sentuhan kontemporari. Paling penting, Vintage 1988 bukan sahaja mesra muslim tetapi ada sijil halal dari JAKIM. Kalau penat berjalan di Petaling Street, boleh singgah di Vintage 88 dan makan burger mereka yang paling banyak mendapat pujian pelanggan. Jangan lupa cuba Caramelized Banana Waffle, Beetroot Bun Burger dan kuih onde-onde juga sebab yang ini pun popular.

Jarak dengan Stesen Pasar Seni tak jauh, cuma 5 hingga 6 minit berjalan kaki sahaja.

Alamat: 34, Jalan Sultan, 50000 Kuala Lumpur (Google Map)
Harga: RM20 – RM40
Waktu Operasi: 9am – 7pm

3. Leaf & Co Cafe
Jubin lama, dinding rustic, lampu-lampu gantung dan perabot lama yang diperbaharui, ini tempat gambar OOTD gaya indie anda. Leaf & Co terletak di bangunan rumah kedai lama yang diubahsuai menjadi kafe gaya industri dalam rona warna retro dan tanah. Selesa dan nyaman, tempat yang menjadi pilihan pertemuan berkumpulan ini memang sesuai untuk koleksi gambar Instagram anda. Sangat insta-worthy!
Menu di kafe mesra muslim ini adalah gabungan timur dan barat. Jadi, pilihannya pelbagai termasuk pilihan untuk vegan. Antara yang popular di Leaf & Co ialah sate ayam, spageti dengan ayam rangup dan croissant telur masin. Layanan mesra mereka juga sering mendapat pujian pelanggan. Jadi, anda dapat tempat yang selesa, makanan yang sedap dan layanan yang bagus.

Jaraknya dari Stesen Pasar Seni cuma kira-kira 5 minit berjalan kaki. Ada tempat letak kereta di tepi jalan atau boleh gunakan tempat letak kereta berbayar.
Alamat: 53, Jalan Sultan, 50000 Kuala Lumpur (Google Map)
Harga Sarapan: RM20 – RM40
Waktu: 10am – 10pm
Artikel lain yang mungkin anda suka: Hotel di Bukit Bintang | Tempat Makan Menarik di KL
4. Cafe Etc
Kalau kebanyakan kafe yang tersenarai di sini terkenal dengan dekorasinya, Cafe Etc pula terkenal dengan makanannya yang sedap pada harga mampu dan layanan mesra kepada pelanggan. Menunya terdiri daripada makanan barat; kek keju dan browniesnya paling popular. Tambah juga pasta dan burger kalau anda nak yang lebih mengenyangkan.
Suasana dalam kafe ini sangat selesa dengan reka bentuk yang ringkas dan asas. Malah turut disediakan juga wifi yang kuat. Mungkin sebab itulah ramai remote worker atau pekerja jarak jauh yang suka bekerja dari sini.

Hanya 5 minit berjalan kaki dari Stesen Pasar Seni, anda juga boleh meletakkan kenderaan di tepi jalan atau sepanjang Jalan Tun HS Lee. Jarak dari Petaling Street pula lebih kurang 4 minit berjalan kaki.

Alamat: No.198, Jalan Tun HS Lee, 50000 Kuala Lumpur (Google Map)
Harga Sarapan: RM6 – RM10
Waktu Operasi: Selasa – Ahad, 10am – 6pm
5. Kafei Dian
Satu lagi kafe mesra muslim di Petaling Street yang unik, diubahsuai daripada bangunan lama. Dahulunya sebuah pejabat pos, kini menjadi sebuah kafe yang terkenal dengan pelbagai menu Malaysia seperti mee udang, nasi lemak, rojak, tauhu bakar dan char kway teow. Orang kata, inilah kafe yang masih mengekalkan hidangan asli Malaysia.
Ruangnya luas dan suasana dalam kafe ini buat anda rasa berada di rumah pusaka keluarga anda yang nun jauh di kampung. Sangat nostalgia. Tambahan pula dengan adanya pokok-pokok hiasan di luar dan dalam ruang kafe, Kafei Dian terasa jauh dari bandar KL yang sibuk.

Kalau datang dengan memandu kenderaan sendiri, boleh letakkan kereta di sekitar jalan berdekatan kafe, tapi jika datang menaiki LRT, stesen terdekatnya ialah Stesen Pasar Seni. Hanya 5 minit berjalan kaki dari stesen dan Petaling Street. Keadaan agak sesak dan perlu beratur pada waktu puncak. Jadi, susun masa dengan baik sebelum datang ke sini.

Alamat: 15-1, Jalan Balai Polis Kuala Lumpur (Google Map)
Harga Sarapan: RM3 – RM6
Waktu Operasi: 730am – 1030pm
6. Luck Bros Kopi
Luck Bros Kopi dibina dalam bangunan berusia 150 tahun, diubahsuai dengan menggabungkan ciri-ciri vintaj dalam kopitiam dan sentuhan moden sebuah kafe. Luck Bros adalah tempat peminat kopi. Selain memberi tumpuan kepada makanan tempatan, ia juga menghidangkan 5 States Kopi iaitu kopi dari 5 negeri di Malaysia iaitu Johor, Melaka, Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang.
Cawangan Luck Bros Kopi di Petaling Street ada sijil halal dari JAKIM. Walaupun ada cawangan lain yang tiada sijil halal, tapi mereka menggunakan bahan dan mendapatkan bekalan daripada pembekal halal.
Luck Bros Kopi juga ada cawangan di Kota Damansara. Apa yang menarik, cawangan Kota Damansara ada petting zoo yang diasingkan oleh koridor. Jadi, kalau bawa keluarga, bolehlah ajak mereka makan sambil tengok dan bermain dengan haiwan seperti kambing, kuda padi, arnab, ikan dan kura-kura.

Luck Bros Kopi hanya kira-kira 4 minit berjalan kaki dari Petaling Street. Kalau memandu sendiri, boleh letakkan kereta anda di tempat letak kereta di jalan atau sepanjang Jalan Panggong.
Alamat: 14, Jalan Panggong, 50000 Kuala Lumpur (Google Map)
Harga: RM15 – RM40
Waktu Operasi: 8am – 2am
7. Mingle Cafe
Vintaj dan moden. Relaks dan bergaya. Sebahagian memanggilnya eco-hipster. Itulah gabungan cantik kafe mesra muslim ini yang terletak di sebuah bangunan warisan berusia 100 tahun. Walaupun ada bahagian yang tampak lusuh, tapi itulah yang menawan ramai pelanggan untuk datang makan bersama kawan-kawan sambil ambil gambar kenangan di sini. Malah, perabot-perabot di sini kebanyakannya adalah perabot terpakai dari tahun 60an dan 70an yang kemudian dikitar tinggi menjadi dekorasi menarik.
Mingle Cafe terkenal dengan pasta segar buatannya sendiri selain hidangan tradisional Malaysia dengan sentuhan moden. Antara yang popular di sini ialah nasi ulam ayam percik, rendang tagliatelle dan pesto chicken sandwic. Jangan lupa gandingkan dengan aneka pilihan smoothie mereka.

Tempat meletak kenderaan di sini cepat penuh, terutama pada waktu sibuk. Jadi, kalau anda memilih untuk menaiki LRT, jaraknya cuma 5 minit dari Pasar Seni.
Alamat: 55, Jalan Sultan, 50000 Kuala Lumpur (Google Map)
Harga: RM20 – RM40
Waktu Operasi: 8am – 10pm
8. Old Town White Coffee
Nama yang tak asing di Malaysia. Old Town White Coffee dah ada banyak cawangan dan salah satunya di Pasar Seni, hanya kira-kira 3 minit berjalan kaki dari Petaling Street. Terkenal dengan white coffeenya, ia juga menyediakan pelbagai hidangan tempatan seperti nasi lemak dan roti bakar kaya. Kafe mesra muslim dan ada sijil halal, Old Town White Coffee menyediakan banyak pilihan hidangan ringan dan ruang berhawa dingin yang selesa.

Terletak di Pasar Seni, jarak kafe ini dari Petaling Street dan Stesen LRT Pasar Seni cuma 3 minit berjalan kaki.
Alamat: Central Market, Lot F&B 01, Ground Floor, Jalan Hang Kasturi, 50000 Kuala Lumpur (Google Map)
Harga: RM20 – RM40
Waktu Operasi: 8am – 10pm
9. Yew Yew Coffee
Apa yang insta-worthy di sini? Mestilah makanannya! Kalau nak lepak minum kopi, makan dessert atau tapau sebab tak ada banyak masa, Yew Yew Coffee tempatnya. Mereka popular dengan minuman seperti latte, mocha, dark dan mint chocolate latte, matcha latte dan banyak lagi. Untuk makanan, mereka ada croffle (sangat popular) dan pelbagai jenis kek seperti kek Marble dan Dirty Banana Tower.
Hiasan dalamannya gaya minimalis – bersih dan moden. Ada bangku bar yang menghadap jalan jadi boleh minum dan makan sambil melihat orang yang lalu-lalang. Peganglah secawan kopi dan ambillah gambar OOTD anda dalam gaya minimalis ini.

Yew Yew Coffee tiada sijil halal tapi dikategorikan sebagai mesra muslim kerana tiada bahan berasaskan b*bi dan alkohol dalam hidangan mereka. Menunya lebih cenderung kepada vegetarian.
Jarak kafe ini dari Stesen LRT/MRT Pasar Seni cuma 3 hingga 5 minit berjalan kaki dan 2 minit sahaja dari Petaling Street.

Alamat: 63-D, Ground Floor, Bangunan Ka Yin, Jalan Sultan, 50000 Kuala Lumpur (Google Map)
Harga: RM10 – RM20
Waktu Operasi: 10am – 6pm
10. Aooo Melbourne Cafe
Sarapan gaya barat di ruang yang relaks, nyaman berhawa dingin dan selesa. Kafe ini dibina dalam bangunan yang dahulunya sebuah kedai piring hitam. Masih cuba mengekalkan sejarah bangunan dan legasi muzik asalnya, anda akan nampak banyak piring hitam menjadi hiasan dinding Aooo Melbourne Cafe.
Bila datang ke Aooo, cubalah kopi Italinya dan gandingkan dengan kek daripada air tangan Chef dari Perancis. Kalau nak yang berat sedikit, boleh cuba pasta dan hidangan yang lain.

Jarak dari kafe ini dari Stesen Pasar Seni cuma kira-kira 3 minit berjalan kaki. Jarak lebih kurang sama dengan Petaling Street. Kalau memandu sendiri, boleh letakkan kenderaan di sekitar jalan-jalan terdekat.
Alamat: 182-2, Jalan Tun H S Lee, 50000 Kuala Lumpur (Google Map)
Harga: RM20 – RM40
Waktu Operasi: Selasa-Ahad, 9am – 7pm
11. Monograph Cafe
Kami tertarik dengan kertas-kertas tertulis puisi yang disusun dan digantung menjadi candelier yang unik dikelilingi kayu rustic dan cahaya suram. Monograph tampak classy, sekaligus sangat instagram-worthy dan sesuai untuk ambil gambar OOTD.
Monograph Cafe ialah kafe mesra muslim yang tidak menggunakan bahan berasaskan babi dan alkohol dan memberi tumpuan kepada penggunaan bahan berasaskan tumbuh-tumbuhan dan hidangan makanan laut. Menunya diinspirasikan daripada gabungan Mediterranean dan Jepun yang menggunakan ramuan tempatan. Boleh cuba Roasted Kombu Seabass dan pencuci mulut paling popular mereka, Pistachio Terrine.

Jarak Monograph Cafe hanya kira-kira 3 hingga 4 minit dari LRT/MRT Pasar Seni.
Alamat: 181 A (First Floor, Jalan Tun H S Lee, 50000 Kuala Lumpur, (Google Map)
Harga: RM20 – RM60
Waktu Operasi: Selasa-Ahad, 11am – 1030pm
12. LaGula Cafe
Kalau Monograph tampak classy, LaGula pula berwarna-warni! Tengok ni hiasan dalamannya dengan warna dasar merah jambu pastel yang sangat menarik perhatian. Rasanya tak perlu beritahu sama ada ini sesuai atau tidak untuk OOTD atau gambar media sosial anda. Anda dah tahu ini memang sesuai untuk semua itu!
Menunya berasaskan vegan yang mematuhi bahan standard halal, tiada babi dan alkohol jadi ia dikira kafe mesra muslim walaupun belum ada sijil dari JAKIM. Mereka ada croissants, kek span lemon, latte ais yang dibuat daripada oat atau soya atau santan – semuanya berasaskan tumbuhan. Jadi, nak makan yang ringan, minum kopi sambil sesi bergambar, singgahlah di LaGula.

Jarak dari kafe ini dari Stesen Pasar Seni cuma kira-kira 3 hingga 4 minit berjalan kaki. Tak jauh dan berbaloi!
Alamat: G-02, Ground Floor, Four Points Hotel by Sheraton, 50000 Kuala Lumpur, (Google Map)
Harga: RM40 – RM60
Waktu Operasi: Rabu-Isnin, 11am – 11pm
Terokai dan rasa hidangan dari kafe mesra muslim di Petaling Street dan rakamkan gambar-gambar cantik dengan dekorasi menarik di setiap kafe. Nak lebih adventure? Kalau anda bukan dari KL, cuba tempah bilik hotel di sekitar Petaling Street yang paling best di Flow supaya anda boleh buru semua kafe insta-worthy yang ada di sana!
Ulasan dan cadangan kami adalah jujur dan tidak dipengaruhi oleh pampasan atau tajaan. Melainkan dinyatakan sebaliknya, kami tidak menerima bayaran atau produk percuma untuk ulasan positif. Sebarang pampasan atau produk yang diterima untuk semakan akan didedahkan dalam siaran yang berkaitan.
FAQs
Adakah tempat-tempat ini menyediakan pilihan makanan vegetarian atau vegan?
Kafe biasanya menawarkan pilihan vegetarian.
Adakah kafe-kafe ini mesra haiwan atau pet-friendly?
Kebanyakan kafe di KL tidak membenarkan haiwan peliharaan dibawa masuk ke dalam kafe kecuali kafe tertentu yang menyediakan ruang khas di luar untuk pelanggan yang datang bersama haiwan kesayangan masing-masing.
Kongsi artikel ini