10 Restoran Nasi Kandar Pulau Pinang Anda Wajib Cuba [2025]|Sedap Berbaloi
Lengkapkan percutian utara anda dengan 10 nasi kandar Pulau Pinang paling viral!
2025-10-10
By Siti![10 Restoran Nasi Kandar Pulau Pinang Anda Wajib Cuba [2025]|Sedap Berbaloi](https://cms.flowtheroom.com/wp-content/uploads/2025/10/nasi-kandar-di-penang-.png?w=3840&q=75)
Pulau Pinang – salah satu negeri di Malaysia yang terkenal dengan makanan yang lazat. Nasi kandar Pulau Pinang, antaranya. Tetapi disebabkan jumlah restorannya yang banyak, mungkin susah sikit untuk anda buat pilihan. Jadi, kami tolong senaraikan di sini 10 restoran nasi kandar Pulau Pinang yang kami rasakan terbaik mengikut rating dan review daripada orang awam. Ini confirm viral!
Kandungan
1. Deens Maju
Deens Maju Nasi Kandar ialah restoran nasi kandar Pulau Pinang dengan rating tinggi dalam talian. Tempat ini selalu diserbu pelanggan dari dalam dan luar negara. Apa yang best sangat Deens Maju ni? Ok, orang suka ayam gorengnya yang rangup. Dapat pula kuah banjir disiram pada nasi yang ada banyak lauk-pauk pilihan, rasanya memang mantap!
Deens Maju terletak di kawasan tumpuan pelancong iaitu George Town. Jadi, bagi pengunjung dari luar yang memerlukan tempat bermalam, ada banyak hotel yang menyediakan kadar mengikut jam seperti Hotel Central George Town. Boleh semak banyak lagi hotel di sini.

Alamat: 170, Jalan Gurdwara, 10300 George Town, Pulau Pinang
Waktu Operasi: Ahad – Khamis (12pm-10pm)
Kadar harga: RM1-RM20
2. Hameediyah
Restoran Hameediyah bukan sekadar restoran nasi kandar. Dibina pada tahun 1907, ia adalah restoran nasi kandar Pulau Pinang tertua menyajikan hidangan tradisi kegemaran rakyat Malaysia ini. Setelah bertahun lamanya, Hameediyah masih kekal menambat hati pelanggan dengan menu yang menarik. Walaupun kami berikan gambar sotong yang buat anda terliur, cubalah juga daging kurma dan ayam kapitan mereka sebab ini yang selalu disebut-sebut pelanggan.
Untuk sebuah restoran nasi kandar yang mampu bertahan sejak 1907, masakan mereka mestilah sedap. Apa kata anda cuba rasa sendiri dan buktikan apa yang kami kata!

Alamat: 164 A, Lebuh Campbell, George Town, 10100 George Town, Pulau Pinang
Waktu Operasi: Sabtu-Khamis (10am-10pm), Jumaat (10am-1pm, 3pm-10pm)
Kadar harga: RM20-RM40
Cadangan Untuk Anda: Top 10 Tempat Lepak Menarik di Lembah Klang | 10 Hotel di Kuala Lumpur untuk Semua Jenis Traveler [2025]|Serendah RM13 Sejam

3. Mohamed Raffee Nasi Kandar
Seperti tenggelam di belakang nama-nama besar dalam kumpulan restoran nasi kandar Pulau Pinang, Mohamed Raffee Nasi Kandar dianggap underrated oleh sebahagian pelangganya. Tiada laman web, tiada laman media sosial khusus yang aktif mempromosikan mereka, restoran ini bergantung pada buah mulut pelanggan yang pernah menjamu selera di tempat mereka.
Hidangan bergorengnya menjadi penarik ramai pelanggan ke restoran ini. Mereka sanggup beratur memenuhkan restoran dari petang ke malam. Jadi, kalau anda ke Pulau Pinang, cuba singgah di Restoran Mohamed Raffee Nasi Kandar dan rasai sendiri kelazatan nasi kandar mereka.

Alamat: 295-A, Jalan Burma, Pulau Tikus, 10350 George Town, Penang
Waktu Operasi: Setiap hari (7am-1230am)
Kadar harga: RM1-RM20
4. Nasi Kandar Sulaiman
Ada banyak restoran nasi kandar Pulau Pinang. Tapi, mungkin ada sesuatu yang buat Tengku Permaisuri Selangor memilih Restoran Nasi Kandar Sulaiman untuk singgah menjamu selera. Sebenarnya restoran ini memang antara restoran nasi kandar Pulau Pinang yang tular di media sosial. Kemesraan melayan pelanggan berjaya buat pelanggan gembira!
Menawarkan menu biasa nasi kandar seperti sotong dan ayam bawang, Nasi Kandar Sulaiman juga menyediakan set lamb shank yang disiram dengan kuah banjir (lihat gambar bawah). Ini memang rare!

Alamat: 739, Jalan Air Itam, 10460 George Town, Pulau Pinang
Waktu Operasi: Ahad-Khamis (630am-330am),
Kadar harga: RM1-RM20
5. Nasi Kandar Imigresen
Kalau nak cuba nasi kandar Pulau Pinang yang super viral, ini dia! Namanya diambil daripada tapak asal jualan nasi kandar ini iaitu di hadapan Pejabat Imigresen di Jalan Pantai. Walaupun telah berpindah ke lokasi yang lebih sesuai untuk perniagaan mereka, tetapi nama ‘Imigresen’ terus melekat sampai sekarang. Terkenal di kalangan pempengaruh dan laman web makan-makan, Nasi Kandar Imigresen sebenarnya adalah perniagaan warisan turun-temurun sejak tahun 1949. Jadi, ia semacam ikon nasi kandar Pulau Pinang.
Apa yang menarik adalah makanannya dijual dengan gaya penjaja, sederhana dengan setiap masakan disusun rapi atas gerai kecil beroda. Seperti nasi kandar yang lain, kuah tiga serangkainya iaitu kuah daging, kuah ayam dan kuah ikan serta ayam ros antara yang menjadi tarikan di Nasi Kandar Imigresen.

Alamat: 8, Lorong Pasar, George Town, 10200 George Town, Pulau Pinang
Waktu Operasi: Sabtu-Khamis (9am-7pm),
Kadar harga: RM1-RM20
6. Nasi Kandar Line Clear
Walaupun ada restoran nasi kandar yang ditutup sekitar jam 10 malam, tapi bukanlah asing jika restoran nasi kandar dibuka sehingga lewat malam atau pagi. Restoran Nasi Kandar Line Clear merupakan antara restoran nasi kandar Pulau Pinang untuk mereka yang tiba-tiba terjaga dari tidur malam dan berasa lapar.
Nama restoran ini memang terkenal di kalangan peminat nasi kandar sebab dah wujud sejak tahun 1930. Mereka betul-betul antara ‘otai’ dalam kumpulan nasi kandar Pulau Pinang. Kualiti makanan masih sama dan harganya kekal berpatutan, menjadikan Restoran Nasi Kandar Line Clear diterima ramai pelanggan sehingga kini.

Alamat: 161 & 177, Jln Penang, George Town, 10000 George Town, Pulau Pinang
Waktu Operasi: Dibuka 24 jam
Kadar harga: RM1-RM20
7. Nasi Kandar Beratur
Kalau Nasi Kandar Imigresen mendapat namanya daripada lokasi asal perniagaan mereka, adakah mungkin Nasi Kandar Beratur Original mendapat namanya daripada barisan pengunjung yang sanggup berdiri menunggu giliran untuk sepinggan nasi kandar mereka? Tak mustahil sebab itulah yang berlaku setiap hari.
Dibuka setiap hari agak lewat iaitu pukul 10 malam tetap tak menghalang orang ramai daripada beratur membeli di sini. Lauk-pauknya sama sepertimana nasi kandar yang lain, cuma ini pilihan terbaik untuk mereka yang berjaga malam dan masih mahu nasi kandar yang sedap dan berbaloi di Pulau Pinang.

Alamat: 98, Jln Masjid Kapitan Keling, George Town, 10200 George Town, Pulau Pinang
Waktu Operasi: Setiap hari (10pm-8am)
Kadar harga: RM1-RM20
8. Nasi Kandar Kampung Melayu
Kalau biasanya anda makan di restoran nasi kandar di kawasan bandar, apa kata kali ini masuk ke kampung pula. Nasi kandar Pulau Pinang yang ini berikan anda vibe kampung yang asli, – tak ada penghawa dingin dan kurang bunyi bising. Terletak di Kampung Melayu, Nasi Kandar Kampung Melayu terkenal di kalangan penduduk setempat dan sekarang pengunjung dari luar.
Oleh kerana ia dibuka seawal 6:30 pagi, restoran ini turut menjadi pilihan untuk bersarapan. Dibuka sejak tahun 1970, Nasi Kandar Kampung Melayu dilaporkan menghidangkan sehingga 1000 pinggan setiap hari! Ada lebih 5 jenis kuah campur, ayam goreng rangup pedas pada harga wow!

Alamat: A-29, Jalan Kampung Melayu, Kampung Melayu, 11500 Ayer Itam, Pulau Pinang
Waktu Operasi: Setiap hari (630am-10pm)
Kadar harga: RM1-RM20
9. Nasi Kandar Maima Maju
Satu lagi nasi kandar Pulau Pinang yang anda kena cuba kalau anda berada di Bukit Mertajam. Maima Maju menyediakan hidangan nasi kandar tradisi setiap hari selama 24 jam. Sepertimana kebanyakan restoran nasi kandar yang lain, restoran ini ringkas dan santai tetapi hidangannya sentiasa menjadi pilihan utama pengunjung.
Kata orang, restoran-restoran nasi kandar di Bukit Mertajam ni underrated sebab restoran di kawasan hotspot George Town lebih terkenal di kalangan pelancong. Jadi, apa kata anda keluar sekejap dari zon selesa dan cuba nasi kandar Bukit Mertajam pula!

Alamat: 2405, Jalan Kampung Baru, Taman Tampoi, 14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Waktu Operasi: Dibuka setiap hari 24 jam
Kadar harga: RM1-RM20
10. Nasi Kandar Ikram
Nasi Kandar Pulau Pinang terakhir dalam senarai kami. Nama Nasi Kandar Ikram memang terkenal di kalangan penduduk setempat. Selain makanannya yang sedap, restoran ini juga menjadi pilihan kerana harganya yang berpatutan.
Restoran ini terletak di bahagian bawah flat MBPP Taman Sri Pinang dan berhadapan dengan sungai. Apa yang menariknya, anda bukan sahaja boleh makan di kedai atau tapau, tapi boleh juga drive thru. Whatsapp sahaja nombor mereka dan mereka akan berikan pesanan anda terus ke kereta anda. Menarik, kan? Cash on Delivery pun ada. Jadi, tak ada alasan untuk makan Nasi Kandar Ikram!

Alamat: 1-G-17, Jalan Veterinari, Taman Sri Pinang, 10150 George Town, Pulau Pinang
Waktu Operasi: Sabtu-Khamis (7am-7pm)
Kadar harga: RM1-RM20
Ok, jadi itu sahaja senarai 10 Nasi Kandar Pulau Pinang terbaik dan viral untuk tahun ini. Walaupun hanya 10 dalam senarai, tapi sebenarnya ada lagi nasi kandar best yang tak dapat dimasukkan ke dalam senarai ini. Boleh datang ke Pulau Pinang dan cari semua nasi kandar Pulau Pinang yang masih ‘tersembunyi’ itu. Kalau anda dari luar Pulau Pinang, cuba semak harga hotel mengikut jam berdekatan restoran nasi kandar pilihan anda. Klik di sini dan tempah sekarang !
Ulasan dan cadangan kami adalah jujur dan tidak dipengaruhi oleh pampasan atau tajaan. Melainkan dinyatakan sebaliknya, kami tidak menerima bayaran atau produk percuma untuk ulasan positif. Sebarang pampasan atau produk yang diterima untuk semakan akan didedahkan dalam siaran yang berkaitan.
FAQs
Di manakah restoran terbaik untuk makan nasi kandar di Pulau Pinang?
Kebanyakan restoran dalam senarai ini terletak di George Town yang juga merupakan tempat tumpuan pelancong di Pulau Pinang. Sekaligus menjadikan restoran-restoran nasi kandar Pulau Pinang berhampiran dengan banyak hotel. Jadi, tempat tinggal mudah, pengangkutan awam juga tiada masalah.
Apakah waktu operasi restoran nasi kandar di Pulau Pinang?
Restoran nasi kandar Pulau Pinang biasanya terkenal sebagai restoran 24 jam tetapi ada juga restoran yang dibuka dan ditutup lebih awal dan ada yang dibuka bermula waktu malam. Operasi hari Jumaat juga mungkin berbeza sedikit dengan hari lain untuk memberi ruang pekerja beragama Islam menunaikan solat Jumaat. Jadi, pastikan anda semak dahulu waktu operasi restoran nasi kandar yang anda ingin pergi dan susun perjalanan anda dengan baik.
Kongsi artikel ini